Tuesday, March 3, 2009

Rencah Bawang dan Garam Perantauan



March 2nd, 2009 by Abu Saif


“Kenapa mereka tidak ke kelas? Hairan juga,” saya menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
“Entahlah, budak-budak Pattani ini bukan seperti budak-budak kita. Mereka istiqamah. Mungkin ada yang tidak kena,” balas Ucop.
Petang itu kami duduk termenung di pinggir tembok masjid Jaafar al-Tayyar. Mengambil angin petang usai Asar di Masjid. Terkenang kembali leteran pensyarah di kelas pagi tadi. Marahkan Malizi yang ponteng kelas.
Sebenarnya pelajar yang tidak hadir ke kelas itu adalah pelajar dari Pattani. Tetapi disebabkan oleh majoriti yang dikuasai oleh bilangan pelajar Malaysia, maka kesemua kami dari Indonesia, Pattani dan Selatan Filipina dipanggil sebagai Malizi belaka oleh pensyarah.

Memang kami susah hati.

Rakan-rakan dari Pattani kuat mengaji. Mereka berusaha keras untuk menyambung pelajaran ke Jordan. Ada yang jual kerbau, ada yang gadai bendang, demi mencukupkan bekalan kewangan untuk bertamu di Dataran Syam. Sengaja ponteng kelas, bukan perangai mereka.
“Kalau macam tu, biar ana pergi ke rumah mereka di Marj,” Ucop menawarkan diri.
“Ok, sampaikan salam kami kepada mereka,” sambut Arief yang diam semenjak tadi.
Warga Darul Kahfi bergambar bersama anak-anak jiran yang bertandang untuk sama-sama bermain bola
Kami melangkah pulang menuju ke Darul Kahfi, rumah kami di seberang stesyen minyak. Sudah menjadi tradisi, rumah pelajar-pelajar lelaki diberikan nama-nama tertentu untuk pengenalan dengan perkataan Dar bagi rumah pelajar lelaki dan Bait bagi rumah pelajar perempuan. Paling unik adalah Darul-KP di hadapan rumah kami, kerana penghuninya adalah pelajar-pelajar tajaan Kementerian Pendidikan.
Ucop kami tinggalkan di bahu jalan kerana beliau mahu terus pergi ke Marj.
“Ucop, jangan lambat-lambat. Nanti balik Mazar naik lori kambing lagi!” jerit Munawwar.
Kami ketawa.
Selepas matahari tenggelam, memang agak susah untuk mendapatkan kenderaan pulang ke rumah kami di puncak Dataran Mazar. Bas sudah tiada. Selalunya kami akan menumpang pick-up jika terlewat.
Petang itu giliran saya memasak untuk makan malam. Alhamdulillah santan masih ada sedikit. Begitu juga dengan ikan bilis, halia dan biji halba yang saya bawa dari Malaysia. Malam ini kami makan nasi lemak! Biar melentok semua menjelang Isyak.


UCOP MEMBAWA BERITA
“Assalamualaikum!” kedengaran suara Ucop memberi salam dari luar.
Kami yang sedang minum teh panas bercampur daun pudana (daun na’na’) tidak sabar-sabar menunggu kepulangan Ucop. Rasa tidak sedap hati.
“Hah, ceritalah. Apa yang berlaku?” Ustaz Syamsul menyoal.
“Anta ni, tuanglah syai (teh) secawan untuk ana dulu,” kata Ucop.
“Ahaha, ya ya, tafaddhal ya ustaz. Silakan!” Ustaz Syamsul menuang secawan teh untuk Ucop yang kesejukan. Ustaz Syamsul adalah senior saya semasa di Sekolah Izzuddin Shah. Saya di tingkatan satu dan beliau di tingkatan 5. Tidak sangka pula akhirnya kami menjadi teman serumah apabila di Jordan.
“Antum tahu sebab apa kawan-kawan Pattani tidak pergi ke kelas?” tanya Ucop.
“Manalah kami tahu. Anta belum cerita,” saya menjawab.
Ucop terdiam seketika. Dia menarik nafas. Panjang dan dalam.
“Mereka tak ada duit tambang nak ke kelas!” kata Ucop.
“Allah… takkan sampai begitu sekali? Tambang 10 Qirsh sahaja,” saya semacam tidak percaya.
“Usahkan nak ke kelas, antum tahu mereka makan apa?” Ucop meneruskan laporannya kepada kami.
“Errr, makan apa?” Munawwar menyoal.
“Mereka makan roti keras dengan bawang cicah garam!” kata Ucop.
Tersentak kami dibuatnya. Dalam gurau-gurau kami malam itu, semua orang jadi kaku dan sepi. Rasa sebak merobek dada, mendengar cerita teman-teman itu diuji dengan keputusan bekalan duit. Roti keras bersama bawang bercicah garam, saya terasa hina menjamah nasi lemak kami tadi.


BERGILIR
“Mereka buat giliran. Setiap hari hanya seorang sahaja yang ke kelas untuk mengambil nota. Itu sahajalah yang mereka mampu lakukan,” Ucop melangsaikan penjelasannya.
Walaupun mereka keputusan bajet untuk ke kelas seperti biasa, mereka tetap bersemangat untuk ke kelas. Giliran dibuat dan nota dikongsi bersama setiap teman yang menanti di rumah. Bahayanya ialah, sistem universiti di Jordan tidak membenarkan pelajar ponteng lebih daripada 6 kali kuliah. Terlajak bilangan, pelajar dihukum sekatan daripada menduduki peperiksaan akhir, atau dalam erti kata yang lain, mereka pasti gagal di dalam subjek berkenaan.
Inilah yang kami tidak mahu ia berlaku.
Ia akan mencetus kerugian yang banyak kerana mereka sudah pun membayar 25 Dinar untuk setiap subjek. Menggugurkan subjek semata-mata kerana tidak mampu datang ke kelas, adalah satu musibah yang menjadi bencana ke atas mereka serta keaiban ke atas kami, andai tidak berbuat apa-apa.
“Habis apa yang kita nak buat sekarang ini?” saya bertanya.
“Kita kutip derma,” kata Arief.
“Nanti! Kalau kita kutip derma dan bagi begitu sahaja, sebanyak mana sekali pun kutipan dibuat, duit itu akan habis. Kita kena cari jalan lain,” Ustaz Syamsul memberi usul.
“Kita kutip duit dan kita dermakan ia sebagai modal berniaga untuk mereka. Baru boleh generate income,” kata Munawwar.
“Mereka pandai buat budu, kicap dan telur masin. Kalau mereka buat berniaga mesti ramai pelajar kita yang membelinya,” saya mengemukakan cadangan.
Malam itu kami mencapai kata sepakat untuk mengumpul dana. Duit yang terkumpul akan didermakan sebagai modal perniagaan untuk mereka. Sebahagian daripada kutipan itu juga akan kami serahkan kepada rakan-rakan daripada Filipina (Mindanao) kerana khabarnya mereka duduk lapan orang serumah di sebuah rumah kecil satu bilik. Sukar untuk membayangkannya.
Jumlah yang berjaya dikumpul agak baik. Walau pun kami hanya mengutip derma di kalangan teman-teman yang rapat, namun secara keseluruhannya wang sebanyak 300 Dinar itu sudah cukup baik. Kami juga berhasil mendapatkan lima orang pelajar berbiasiswa untuk memberikan komitmen derma bulanan selama tiga bulan untuk diperpanjangkan kepada saudara-saudara dari Pattani yang perlu dibantu itu.
Petang selang beberapa hari, saya, Munawwar dan Ucop pergi ke Marj untuk menyerahkan wang kutipan dan plan perniagaan kepada pelajar-pelajar Pattani itu. Mereka menyambutnya dengan linangan air mata. Kami berpelukan.
Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah, berkongsi dan memberi jadi lebih indah apabila semuanya dilakukan atas nama Islam, demi ukhuwwah fillah.


“Perbandingan kaum mukmin pada berkasih sayang, berperasaan dan berbelas ihsan sesama mereka, adalah seperti satu batang tubuh. Apabila mengadu (sakit) mana-mana bahagian, nescaya akan terkesanlah ia kepada seluruh tubuh dengan berjaga malam tiada upaya tidur lagi ditimpa demam”

[Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Sempadan merentas utara Semenanjung Malaysia tidak punya sebarang makna bagi kami. Pattani adalah sejuzuk dari susuk tubuh badan kita. Sesungguhnya duit modal perniagaan itu adalah simbol kasih sayang sesama kami, anak Nusantara di bumi Syam bertuah.
Allaahumma asyhad!



p/s: Betapa beruntungknya kita menikmati keselesaan belajar di negara sendiri...Namun, jika ada sedikit ujian, BERSABARLAH!!! kerna ada insan yang lebih teruk diuji...

Ukhuwah Islamiah tidak mengira latar belakang........

No comments:

Post a Comment