Monday, August 17, 2009

Pergi Tak Kembali.....


asriImej009

Sungguh mengejutkan.

Saya menerima sms daripada Ustaz Zabidi Mohamed kira-kira jam 11:40 pagi tadi.

Ustaz Asri Ibrahim, vokalis kumpulan nasyid nombor satu negara, Rabbani, telah menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 11 pagi tadi. Beliau yang sedang menjalani rakaman program Syahadah di RTM, rebah, dipercayai akibat serangan jantung. Ustaz Asri Ibrahim dibawa ke Hospital Pantai dan diisytiharkan meninggal dunia di situ.

Kehilangan Ustaz Asri Ibrahim amat dirasa kerana beliau dan nasyidnya di dalam kumpulan Nadamurni dan kemudiannya Rabbani, telah saya dampingi semenjak di usia kecil. Nasyidnya, zikirnya, doanya, malah tazkirah dan nasihatnya, adalah peneman diri dalam kehidupan dan perjuangan. Moga segalanya menjadi amal kebaikan peneman diri beliau dalam kembara pergi tak kembali itu.

Memetik ucapan Ustaz Asri Ibrahim di blog beliau:

“Aku adalah pengejar syurga akhirat,bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat;aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat, dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas.Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku…

Semoga Allah melimpahkan seluas-luas rahmat, keampunan dan kasih sayang-Nya ke atas roh Almarhum, dan mengurniakan sabar dan tabah sebanyak-banyakkan buat seluruh ahli keluarga beliau.

2_156(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” [al-Baqarah 2: 156]




PERGI TAK KEMBALI

Setiap insan pastikan merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang akan dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayu alunan suara
Cemas di dada lemah tak bermaya
Terbuka hijap di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baiklah atau sebaliknya

Amalan dan taqwa jadi bekalan
Sejahtera, bahagia pulang…kesana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kanangan
Diiringi doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi

Setelah seluruh hidupku pada liku suka dukanya ditemani oleh buah tangan Ustaz Asri Ibrahim, mudah-mudahan buah tangan itu kini menjadi amal soleh yang menemani perjalanan al-Marhum di alam yang sepi dan sunyi itu.

Bilakah pula perjanjian itu ke atas diriku dan dirimu?

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG


p/s: Bila pulak ajal kita dtg>?tiada siapa yg tahu

Friday, August 14, 2009

PEMIKIR '09


SALAM PEMIKIR

DIJEMPUT KEPADA SELURUH WARGA USIM untuk hadir beramai2....

Disini terdapat sedikit perubahan,

UCAPATAMA AKAN DISAMPAIKAN OLEH:

DR. ZULKIFLI AL-BAKRI
MANTAN PENSYARAH FSU, USIM

Wednesday, July 15, 2009

Salam ukhuwah!!!

Rasanya sudah lama blog ini tidak diupdate dan ana sndiri pn sdh lupa utk meng'update' nya. Maaf....bkn niat utk tidk lagi mneruskan perjuangan ini. Namun, terdpt beberapa mslh yg perlu duselesaikan. harap antum semua ahli SPMM masih dlm perjuangan kerana kemenangan hanya milik Islam. Ini adalah janji Allah dan kita semua perlu yakin dan percaya bahawa satu hari Nur Islam pasti akan tertegak jua. Semester baru sudah pun bermula. Pasti ada diantara antum yg sibuk dek kerana bebanan jam kredit sehinggakan tidak smpt memikirkan soal lain. Namun, jgn sekali-kali meniggalkan jln dakwah ini. Diharapkan juga dengan kemasukan pelajar-pelajar baru sesi 2009/2010 ini akan menambahkan lagi kekuatan ahli kita....... Insyallah.

Tuesday, March 24, 2009

Daftar Keahlian SPMM!!!

Assalamu'alaikum wbt~Sukacita dimaklumkan bahawa SPMM telah membuka boothuntuk pendaftaran keahlian SPMM sempena minggu ICT 2009!Dengan ini , kami mengalu - alukan kedatangan semua pelajar USIMuntuk mendaftar sebagai ahli SPMM.
Tempat : Foyer FKPMasa : 8.30 Pagi - 6.00 PetangTarikh : 23 March hingga 26 March 2009Cepat, daftar keahlian anda sekarang! ^__^

Tuesday, March 3, 2009

Rencah Bawang dan Garam Perantauan



March 2nd, 2009 by Abu Saif


“Kenapa mereka tidak ke kelas? Hairan juga,” saya menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
“Entahlah, budak-budak Pattani ini bukan seperti budak-budak kita. Mereka istiqamah. Mungkin ada yang tidak kena,” balas Ucop.
Petang itu kami duduk termenung di pinggir tembok masjid Jaafar al-Tayyar. Mengambil angin petang usai Asar di Masjid. Terkenang kembali leteran pensyarah di kelas pagi tadi. Marahkan Malizi yang ponteng kelas.
Sebenarnya pelajar yang tidak hadir ke kelas itu adalah pelajar dari Pattani. Tetapi disebabkan oleh majoriti yang dikuasai oleh bilangan pelajar Malaysia, maka kesemua kami dari Indonesia, Pattani dan Selatan Filipina dipanggil sebagai Malizi belaka oleh pensyarah.

Memang kami susah hati.

Rakan-rakan dari Pattani kuat mengaji. Mereka berusaha keras untuk menyambung pelajaran ke Jordan. Ada yang jual kerbau, ada yang gadai bendang, demi mencukupkan bekalan kewangan untuk bertamu di Dataran Syam. Sengaja ponteng kelas, bukan perangai mereka.
“Kalau macam tu, biar ana pergi ke rumah mereka di Marj,” Ucop menawarkan diri.
“Ok, sampaikan salam kami kepada mereka,” sambut Arief yang diam semenjak tadi.
Warga Darul Kahfi bergambar bersama anak-anak jiran yang bertandang untuk sama-sama bermain bola
Kami melangkah pulang menuju ke Darul Kahfi, rumah kami di seberang stesyen minyak. Sudah menjadi tradisi, rumah pelajar-pelajar lelaki diberikan nama-nama tertentu untuk pengenalan dengan perkataan Dar bagi rumah pelajar lelaki dan Bait bagi rumah pelajar perempuan. Paling unik adalah Darul-KP di hadapan rumah kami, kerana penghuninya adalah pelajar-pelajar tajaan Kementerian Pendidikan.
Ucop kami tinggalkan di bahu jalan kerana beliau mahu terus pergi ke Marj.
“Ucop, jangan lambat-lambat. Nanti balik Mazar naik lori kambing lagi!” jerit Munawwar.
Kami ketawa.
Selepas matahari tenggelam, memang agak susah untuk mendapatkan kenderaan pulang ke rumah kami di puncak Dataran Mazar. Bas sudah tiada. Selalunya kami akan menumpang pick-up jika terlewat.
Petang itu giliran saya memasak untuk makan malam. Alhamdulillah santan masih ada sedikit. Begitu juga dengan ikan bilis, halia dan biji halba yang saya bawa dari Malaysia. Malam ini kami makan nasi lemak! Biar melentok semua menjelang Isyak.


UCOP MEMBAWA BERITA
“Assalamualaikum!” kedengaran suara Ucop memberi salam dari luar.
Kami yang sedang minum teh panas bercampur daun pudana (daun na’na’) tidak sabar-sabar menunggu kepulangan Ucop. Rasa tidak sedap hati.
“Hah, ceritalah. Apa yang berlaku?” Ustaz Syamsul menyoal.
“Anta ni, tuanglah syai (teh) secawan untuk ana dulu,” kata Ucop.
“Ahaha, ya ya, tafaddhal ya ustaz. Silakan!” Ustaz Syamsul menuang secawan teh untuk Ucop yang kesejukan. Ustaz Syamsul adalah senior saya semasa di Sekolah Izzuddin Shah. Saya di tingkatan satu dan beliau di tingkatan 5. Tidak sangka pula akhirnya kami menjadi teman serumah apabila di Jordan.
“Antum tahu sebab apa kawan-kawan Pattani tidak pergi ke kelas?” tanya Ucop.
“Manalah kami tahu. Anta belum cerita,” saya menjawab.
Ucop terdiam seketika. Dia menarik nafas. Panjang dan dalam.
“Mereka tak ada duit tambang nak ke kelas!” kata Ucop.
“Allah… takkan sampai begitu sekali? Tambang 10 Qirsh sahaja,” saya semacam tidak percaya.
“Usahkan nak ke kelas, antum tahu mereka makan apa?” Ucop meneruskan laporannya kepada kami.
“Errr, makan apa?” Munawwar menyoal.
“Mereka makan roti keras dengan bawang cicah garam!” kata Ucop.
Tersentak kami dibuatnya. Dalam gurau-gurau kami malam itu, semua orang jadi kaku dan sepi. Rasa sebak merobek dada, mendengar cerita teman-teman itu diuji dengan keputusan bekalan duit. Roti keras bersama bawang bercicah garam, saya terasa hina menjamah nasi lemak kami tadi.


BERGILIR
“Mereka buat giliran. Setiap hari hanya seorang sahaja yang ke kelas untuk mengambil nota. Itu sahajalah yang mereka mampu lakukan,” Ucop melangsaikan penjelasannya.
Walaupun mereka keputusan bajet untuk ke kelas seperti biasa, mereka tetap bersemangat untuk ke kelas. Giliran dibuat dan nota dikongsi bersama setiap teman yang menanti di rumah. Bahayanya ialah, sistem universiti di Jordan tidak membenarkan pelajar ponteng lebih daripada 6 kali kuliah. Terlajak bilangan, pelajar dihukum sekatan daripada menduduki peperiksaan akhir, atau dalam erti kata yang lain, mereka pasti gagal di dalam subjek berkenaan.
Inilah yang kami tidak mahu ia berlaku.
Ia akan mencetus kerugian yang banyak kerana mereka sudah pun membayar 25 Dinar untuk setiap subjek. Menggugurkan subjek semata-mata kerana tidak mampu datang ke kelas, adalah satu musibah yang menjadi bencana ke atas mereka serta keaiban ke atas kami, andai tidak berbuat apa-apa.
“Habis apa yang kita nak buat sekarang ini?” saya bertanya.
“Kita kutip derma,” kata Arief.
“Nanti! Kalau kita kutip derma dan bagi begitu sahaja, sebanyak mana sekali pun kutipan dibuat, duit itu akan habis. Kita kena cari jalan lain,” Ustaz Syamsul memberi usul.
“Kita kutip duit dan kita dermakan ia sebagai modal berniaga untuk mereka. Baru boleh generate income,” kata Munawwar.
“Mereka pandai buat budu, kicap dan telur masin. Kalau mereka buat berniaga mesti ramai pelajar kita yang membelinya,” saya mengemukakan cadangan.
Malam itu kami mencapai kata sepakat untuk mengumpul dana. Duit yang terkumpul akan didermakan sebagai modal perniagaan untuk mereka. Sebahagian daripada kutipan itu juga akan kami serahkan kepada rakan-rakan daripada Filipina (Mindanao) kerana khabarnya mereka duduk lapan orang serumah di sebuah rumah kecil satu bilik. Sukar untuk membayangkannya.
Jumlah yang berjaya dikumpul agak baik. Walau pun kami hanya mengutip derma di kalangan teman-teman yang rapat, namun secara keseluruhannya wang sebanyak 300 Dinar itu sudah cukup baik. Kami juga berhasil mendapatkan lima orang pelajar berbiasiswa untuk memberikan komitmen derma bulanan selama tiga bulan untuk diperpanjangkan kepada saudara-saudara dari Pattani yang perlu dibantu itu.
Petang selang beberapa hari, saya, Munawwar dan Ucop pergi ke Marj untuk menyerahkan wang kutipan dan plan perniagaan kepada pelajar-pelajar Pattani itu. Mereka menyambutnya dengan linangan air mata. Kami berpelukan.
Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah, berkongsi dan memberi jadi lebih indah apabila semuanya dilakukan atas nama Islam, demi ukhuwwah fillah.


“Perbandingan kaum mukmin pada berkasih sayang, berperasaan dan berbelas ihsan sesama mereka, adalah seperti satu batang tubuh. Apabila mengadu (sakit) mana-mana bahagian, nescaya akan terkesanlah ia kepada seluruh tubuh dengan berjaga malam tiada upaya tidur lagi ditimpa demam”

[Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Sempadan merentas utara Semenanjung Malaysia tidak punya sebarang makna bagi kami. Pattani adalah sejuzuk dari susuk tubuh badan kita. Sesungguhnya duit modal perniagaan itu adalah simbol kasih sayang sesama kami, anak Nusantara di bumi Syam bertuah.
Allaahumma asyhad!



p/s: Betapa beruntungknya kita menikmati keselesaan belajar di negara sendiri...Namun, jika ada sedikit ujian, BERSABARLAH!!! kerna ada insan yang lebih teruk diuji...

Ukhuwah Islamiah tidak mengira latar belakang........

Wednesday, February 25, 2009

Semarakkan Bulan Dakwah 2009


Bulan Dakwah yang dihidupkan semula selepas 30 tahun dan dilancarkan hari ini di PICC, mengambil pendekatan berbeza yang mencakupi pelbagai aktiviti untuk berlainan kumpulan sasaran, dengan satu tujuan — mengubah mentaliti masyarakat bahawa dakwah itu hanya dalam bentuk ceramah, syarahan dan forum yang dianjurkan di masjid dan surau.

Selama sebulan setengah dari 15 Feb hingga 31 Mac di peringkat kebangsaan, program yang diatur dibahagikan kepada dua - pendekatan tradisional dan bukan tradisional.

“Gambaran bahawa ustaz dan ustazah, tok lebai dan tok guru sahaja yang dipikulkan dengan tanggungjawab itu patut diubah kerana amanah dakwah tergalas di bahu semua umat Islam sebagaimana hadis Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud “sampaikanlah dariku walaupun satu ayat,” Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pelancarannya akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Dr Ahmad Zahid mahu mengubah mentaliti masyarakat Islam terhadap tanggapan sebegitu melalui pendekatan “Dakwah Bil Hal” iaitu dengan kaedah teori dan praktikal yang lebih mudah difahami dan diterima masyarakat.

Disebabkan itu, sambutan Bulan Dakwah 2009 meliputi program berbentuk kemasyarakatan, keilmuan, kesihatan, kesenian, keusahawanan, kebudayaan, kekeluargaan dan pendidikan. Pendekatan ini cuba memberi kefahaman kepada masyarakat Islam tentang peranan mereka sebagai pendakwah dan status sebagai Khaira Ummah (umat terbaik).

Program yang dilaksanakan berasaskan kepada 10 kluster :

1. Akidah dan Pegangan Hidup dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

2. Perpaduan Ummah di bawah Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

3. Kekeluargaan di bawah Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

4. Pendidikan dan Dakwah di bawah Ketua Pengarah Pelajaran Kementerian Pelajaran.

5. Ekonomi dan Keusahawanan di bawah Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia.

6. Kesihatan dan Kebersihan Alam Sekitar di bawah Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan.

7. Sains dan Teknologi di bawah Universiti Malaya.

8. Kebajikan dan Masyarakat Prihatin di bawah Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

9. Keselamatan dan Perundangan di bawah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan.

10. Kesenian dan Kebudayaan di bawah seorang senator.


p/s: Selamat berdakwah kpd semua.....

Monday, February 16, 2009

Yang baik dibals baik.....yang jahat.......

Pembuat Filem Fitna di Halau oleh Kerajaan UK

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Pengarang filem fitna serta ahli Parlimen Belanda, Geert wilders yang menghina Islam mellaui filem pendek ciptaanya itu hari ini (12 Feb 2009) menerima tamparan hebat dari kerajaan British apabila TIDAK DIBENARKAN dan DIHALAU dari memasuki United Kingdom. Geert wilder yang sampai di Lapangan Terbang Heathrow, London dengan marahnya mengatakan kerajaan United Kingdom sebagai pengecut, selain menyatakan :-

‘ a very sad day to democrary'

Dan juga mengutuk Perdana Menteri UK, Gordon Brown sebagai

"biggest coward in Europe".

fitna.jpg

Geert sebenarnya dijemput oleh salah soerang ahli parliemn Uk dari Independence Party untuk melihat bersama tayangan filem fitna. Setiausaha Luar berkata filem tersebut adalah :-

extreme anti-Muslim hate and we have very clear laws in this country

Manakala Perdana Menteri belanda pula memberikan komen bahawa filem itu :

"no purpose other than to offend"

Pelbagai pihak di UK menyokong larangan tersebut tentunya bagi bersikap adil kerana UK sememangnya mempunyai polisi melarang seseorang individu yang dianggap extremist, sama ada dari kalangan Muslim, dan lain-lainnya.

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi sebelum ini tidak dibenarkan memasuki UK kerana digelar extremist oleh kerajaan UK disebabkan pendirian beliau bahawa homosexual adalah satu penyakit dan pengebom berani mati sebagai syahid dan digalakkan.

Namun demikian terdapat beberapa individu Muslim di UK yang tidak sependapat untuk melarang kemasukan Geert Wilders dengan hujjah bahawa inilah masanya mereka boleh berdebat secara terbuka berkenaan Al-Quran dan Islam dengan Geert Wilders.

Manakala di Belanda pula, Geert Wilder sedang berhadapan dengan kemungkinan perbicaraan atas tindakannya di mahkamah. (sumber)

KESIMPULAN

Apapun pendapat anda sama ada untuk setuju atau tidak dengan tindakan kerajaan UK, saya kira Geert Wilders layak merasa kepanasan hasil tindakannya yang tiada sebarang tujuan kecuali menyerang umat Islam tanpa kefahaman sebenar berkenaan Islam. Geert Wilders juga dimalukan oleh kerajaan UK apabila disambut terus dari kapalterbang, dan disumbat di dalam bilik tahanan di airport beberapa minit, dirampas passport dan dimaklumkan bahawa dia ‘you are not welcome here in UK'.

Ini membuktikan, bantahan-bantahan sama ada dalam bentuk demonstrasi, memorandum, kecaman di media, blog masing-masing dan lain-lain di seluruh dunia setiap kali terdapat usaha mempermainkan Islam adalah PENTING dan boleh memberikan kesan dan tekanan semula kepada si pelaku.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

13 Feb 2009

Saturday, February 14, 2009

Happy Valentine!!!



HUKUM MENYAMBUT HARI VALENTINE

Oleh: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Sumber: http://akob73.blogspot.com

Tarikh 14hb Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah. Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya. Saban tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ianya seperti menuang air ke daun keladi. Oleh itu penulis melihat begitu pentingnya untuk mengupas sejarah sambutan Hari Valentine ini agar ianya dapat menyedarkan muda-mudi kita yang hanyut di lautan cinta bahawa ianya adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram.

SEJARAH SAMBUTAN HARI VALENTINE

Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine maka kita akan dapati bahawa terdapat 4 pendapat berkaitan dengannya.

Ø Pendapat pertama mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13hb hingga 18hb Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih 2 pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai 2 pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan mereka.

Ø Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat 2 versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini.

Versi pertama. Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II. Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorban yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu). Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.

Versi kedua. Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.

Ø Pendapat ketiga. Ia dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

Ø Pendapat keempat. menyatakan sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawan burung yang jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.

Disini kita dapat melihat dengan jelas bahawa asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya serta agama bagi umat Islam.


Hukum Menyambut Hari Valentine

Sebagaimana yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dan disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ini sebagaimana yang firman Allah S.W.T.:

Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. – al-Hajj : 67

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai, no: 959.

Oleh itu hendaklah umat Islam hanya membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu 3 kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Mawlid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Qur’an dan lain-lain lagi. Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam malah ianya berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masehi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini. Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabdanya: Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512.

Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini merupakan satu upacara yang berhubung-kait dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian sebagaimana yang telah penulis paparkan sebelum ini. Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia tergolong dalam ke dua golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas. Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine maka tidak disangsikan lagi bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari agama Islam. Apabila dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Valentine sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan golongan yang durhaka kepada Allah S.W.T.. Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal. Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Syaikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”

Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan Hari Valentine ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). – al-Israa’ : 32

Sebagaimana yang telah dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 10 Februari 2007, Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahaya Mohamed Yusof telah menegaskan bahawa kes remaja hamil anak luar nikah meningkat pada akhir Februari dan awal Mac. Beliau berkata: “Sebahagian besar remaja yang ditempatkan di Kewaja mengadu mereka lupa diri ketika menyambut Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s Day. Mereka keluar berpasangan dan berpesta sehingga larut malam, kemudian mengambil pil khayal hingga tidak sedar terlanjur lalu hamil.”

Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredhai Allah S.W.T.. Firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar)". –Al-Baqarah (2) : 120

Oleh itu mereka mempopularkan sambutan Hari Valentine ini di negara-negara Islam dan menampakkan sambutannya sebagai satu perkara yang begitu romantis serta indah bagi pasangan-pasangan yang ingin membuktikan perasaan cinta mereka. Inilah sebenarnya sikap syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyadur perbuatan maksiat agar kelihatan seperti satu perkara yang baik dan diamalkan oleh manusia tanpa rasa berdosa. Firman-Nya Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik". – al-Hijr (15) : 39-40

Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para ulamak telah merumuskan bahawa sambutan Hari Valentine adalah diharamkan bagi seluruh umat Islam. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

Justeru itu hendaklah pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk menghalang budaya golongan yang ingkar kepada Allah ini dari diamalkan oleh umat Islam di Malaysia. Media Massa sepatutnya dihalang dari memasyhurkan sambutan Hari Valentine ini kepada umat Islam. Sebagai gantian media massa perlu digunakan untuk menyebarkan fatwa-fatwa para ulamak yang mengharamkan sambutan Hari Valentine.

p/s: Kembalilah cinta kita kepada Allah SWT

Wednesday, January 28, 2009

Salam Muhibbah


Assalamualaikum w.b.t..
Laman ini diwujudkan khas untuk ahli-ahli SPMM dan ahli unit Keahlian SPMM khususnya yang ingin mengetahui perkembangan aktiviti-aktiviti yang akan atau telah dianjurkan oleh Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia. Selain itu, adalah diharapkan agar medium ini juga dapat digunakan sebagai wadah untuk memperkembangkan dakwah di atas bumi Allah selain membina ukhuwah dan tautan hati dalam medan fi sabilillah... InsyaAllah..